song

Sunday 21 October 2012

LELAKI LEBIH EMPAT ISTERI PERSENDA AGAMA




KUALA LUMPUR: Lelaki yang berkahwin serentak dengan lebih daripada empat isteri boleh dikategori sebagai mempersendakan agama kerana Islam mengharamkan perbuatan itu.
Pengerusi SukaGuam, Datuk Khairul Anuar Rahmat berkata, berkahwin lebih daripada empat isteri hanya berlaku pada zaman jahiliah dan selepas kedatangan Islam, seorang lelaki hanya dibolehkan mempunyai empat isteri dalam satu-satu masa.
Menurutnya, kes seorang lelaki yang kini dipercayai mempunyai tujuh isteri adalah kali pertama didengar dan ia boleh berlaku jika perkahwinan secara poligami ini tidak didaftarkan kepada pejabat agama.

“Memang perkara ini boleh berlaku dan jika ia berlaku, bermakna lelaki berkenaan sengaja mempersendakan agama dan tindakan boleh diambil terhadapnya.
“Enakmen Jenayah Syariah mempunyai peruntukan terhadap mereka yang mempersendakan agama, jadi individu terbabit boleh dibawa ke muka pengadilan,” katanya.
Khairul Anuar berkata, poligami sememangnya sesuatu yang halal dan diharuskan Islam dan melalui sistem perkahwinan ini seseorang lelaki boleh mempunyai lebih daripada seorang pasangan hidup.
“Dalam Islam, poligami hanya dibenarkan ke atas si suami untuk beristeri lebih daripada satu dengan had empat orang seperti firman Allah (surah an-Nisa: 3) yang bermaksud: “Dan jika kamu takut tidak berlaku adil terhadap perempuan-perempuan yatim (apabila kamu berkahwin dengan mereka), maka berkahwinlah dengan sesiapa yang kamu berkenan dari perempuan-perempuan (lain): dua, tiga atau empat.
“Kemudian jika kamu bimbang tidak akan berlaku adil (di antara isteri-isteri kamu) maka (berkahwinlah dengan) seorang sahaja, atau (pakailah) hamba-hamba perempuan yang kamu miliki. Yang demikian itu adalah lebih dekat (untuk mencegah) supaya kamu tidak melakukan kezaliman,” katanya.

1 comment: